Pinjaman dengan ah long bawa padah

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Dalam usaha mengekang orang ramai daripada terus berurusan dengan ah long yang terbukti beroperasi dengan modus operandi menakutkan dan kejam, pengalaman-pengalaman mangsa yang tertindas walaupun sudah membayar mengikut perjanjian, boleh dijadikan pengajaran.

Wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini berkesempatan menemui beberapa mangsa penipuan dan penindasan ah long di samping mendapatkan fakta kes daripada pihak Biro Pengaduan Awam MCA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara. Pelbagai kisah duka dikumpulkan dan ia disimpulkan sebagai "derita tidak berkesudahan".

Berikut antara cerita duka mangsa penindasan ah long:

MANGSA 1: MANGSA TEKAD BUNUH DIRI. Asal hutang RM300 jadi RM30,000. Zabedah (bukan nama sebenar) tiada pekerjaaan. Dia meminjam RM700 untuk perkahwinannya. Ah long beri pinjaman RM1,000 walaupun duit yang diserahkan cuma RM300. Dua hari kemudian, ah long tiba-tiba menuntut RM1,000 serta-merta. Zabedah tiada wang untuk membayar lalu ah long memperkenalkannya dengan empat ah long lain.

Daripada setiap empat ah long itu, Zabedah meminjam RM1,000 tetapi wang yang dapat hanya RM300. Wang RM1,200 keseluruhannya itu dibayarnya untuk melangsaikan hutang ah long pertama. Dalam tempoh dua bulan, dia telah membayar RM5,000. Hutang keseluruhan kepada keempat-empat ah long berkenaan termasuk faedah adalah RM30,000.

Zabedah yang tertekan kerana berulang-kali diganggu keempat-empat ah long itu nekad membunuh diri. Dia mengelar tangannya dengan pisau. Ajalnya masih panjang apabila adiknya sempat menyelamatkan nyawa kakaknya itu. Deritanya belum selesai, dia masih diburu untuk wang RM30,000 itu.

MANGSA 2: PINJAMAN RM180 JUTA DAN SEBUTIR PELURU. Seorang ahli perniagaan, Zulkarnain (bukan nama sebenar), memerlukan wang RM180 juta untuk menyiapkan projek bangunannya. Ketika krisis ekonomi 1998, hampir semua bank bermasalah dan tidak dapat memberi pinjaman kepadanya.

Dia bertemu seorang ah long yang memanjangkan kepada seorang ketua kongsi gelap di Hong Kong. Dia sendiri terbang ke Hong Kong bagi berjumpa lelaki tersebut. Ketua kongsi gelap itu bersetuju memberi pinjaman kepada Zulkarnain. Bagaimanapun, dia tidak hanya mendapat wang, tetapi turut diberikan sebutir peluru. Itu amaran bahawa maut menunggunya.

Kadar bunga ditetapkan ialah 10 peratus sebulan. Zulkarnain bernasib baik kerana projek bangunan itu dapat disiapkan, hutangnya dilunaskannya.

MANGSA 3: HUTANG DIBURU KE LIANG LAHAD. Kisah menimpa Rashidi (bukan nama sebenar) berlaku ketika kegawatan ekonomi 1998.

Ahli perniagaan ini meminjam RM50,000 daripada ah long. Nasibnya malang kerana perniagaan tidak pulih. Kesemua rumah dan keretanya dicagarkan, Rashidi tetap gagal membayar hutang yang kemudian naik mencecah RM300,000.

Ah long memang tidak berhati perut. Mereka tampal poster cetakan kad pengenalan Rashidi di seluruh kawasan perumahan Rashidi. Tertekan akibat ugutan dan penghinaan oleh ah long, Zulkarnain meninggal dunia akibat strok. Walaupun mangsa sudah sampai ke liang lahad, ah long tetap memburu. Mereka beralih mengganggu anak-anak Zulkarnain.

MANGSA 4: KAWAN LARI, HUTANG TIDAK BERPENGHUJUNG. Malik (bukan nama sebenar), 47, seorang ahli perniagaan. Pada 2000, perniagaannya bermasalah. Dia kemudian diperkenalkan oleh seorang rakan kepada ah long. Malik meminjam RM8,000 tetapi wang yang diperolehnya cuma RM2,000. Kadar bunga pula 20 peratus seminggu.

Malik gagal membayar balik ansuran. Dia perlu membayar RM1,600 setiap minggu tetapi dalam tempoh setahun, hutangnya sudah mencecah RM40,000. Rakan yang memperkenalkan Malik kepada ah long berkenaan menghilangkan diri, dia akhirnya tersepit mengharungi masalah itu sendirian.

Dengan pertolongan saudara mara, dia berjaya melunaskan RM40,000 itu. Namun, ah long tersebut masih memburunya kerana kononnya masih ada baki RM2,000.

MANGSA 5: BAHANA SKIM CEPAT KAYA: Hamdan (bukan nama sebenar) dua kali meminjam daripada ah long. Tukang kayu ini meminjam kali pertama pada 2010 untuk rawatan orang tuanya di kampung. Hamdan meminjam RM4,000, kadar bunga 10 peratus sebulan. Menerusi ah long yang diperkenalkan rakan sepejabatnya, Hamdan mendapat RM3,950. Duit itu turut digunakan untuk membiayai belanja persekolahan tiga anak. Untuk kes pertama, walaupun terpaksa membayar tinggi, dia dapat selesaikan tanpa masalah berpanjangan.

Pada 2011, terpengaruh dengan seorang rakan untuk menyertai skim perniagaan cepat kaya, Hamdan sekali lagi meminjam daripada ah long. Kali ini sebanyak RM15,000. Menurut rakan Hamdan, pelaburan sebanyak itu akan membolehkannya mendapat untuk RM414,000 dalam tempoh dua tahun.

Ah long itu memegang kad ATM Hamdan dan setiap bulan, wang RM1,600 diambil. Dalam tempoh 18 bulan, Hamdan tidak mengalami sebarang beban kerana rakannya mendepositkan RM1,600 ke dalam akaunnya setiap bulan. Bagaimanapun, sejak November 2013 rakannya menghilangkan diri. Dengan pendapatan RM2,500 sebulan, Hamdan tiada kekuatan kewangan untuk membayar RM1,600 sebulan kepada ah long.

Ah long menuntut baki RM15,000 yang belum dijelaskan walaupun jumlah dibayar sudah mencecah RM30,000. Sehingga kini, Hamdan masih membayar RM1,600 sebulan. Sepanjang masa dia menerima ugutan berbentuk kekerasan.

MANGSA 6: SUDAH LUNAS RM40,000, MASIH DITUNTUT RM40,000. Perniagaan Ahmad (bukan nama sebenar), 55, bermasalah besar pada April 2013. Meskipun program pembangunan dan penyelidikan (R&D) terhadap produknya sudah hampir selesai, Ahmad memerlukan jumlah wang yang besar untuk mengkomersialkannya.

Kebimbangan Ahmad ketika itu adalah melunaskan gaji para pekerjanya. Premisnya turut dirampas oleh pemilik kerana kegagalan membayar sewa bulanan. Ahmad bertemu seorang ah long, wang dipinjamnya RM30,000 tetapi dapat cuma RM25,000. Setiap minggu kemudiannya, Ahmad membayar ansuran RM4,000 seminggu dengan kos bunga 20 peratus.

Pada bulan September 2013, Ahmad membayar RM40,000 kepada ah long berkenaan. Tetapi ah long itu mendakwa Ahmad masih mempunyai baki hutang RM40,000.

MANGSA 7: ANAK BERHUTANG, BAPA TERPAKSA JUAL KERETA.Fatimah (bukan nama sebenar) seorang kerani swasta bergaji RM2,000 sebulan. Dia yang belum berkahwin bermasalah kewangan untuk wang ansuran keretanya sebanyak RM800 sebulan. Dia meminjam daripada tiga ah long sebanyak RM10,000.

Ia bukan menyelesaikan masalahnya. Fatimah kemudian tidak dapat membayar balik hutang mencecah puluhan ribu kerana bunga yang tinggi. Kerana terdesak, Fatimah melakukan kesilapan besar melakukan pecah amanah terhadap syarikatnya dan menggelapkan wang RM20,000 sehingga diberkas polis.

Bapa Fatimah tidak sanggup melihat anaknya meringkuk di penjara. Beliau menjualkan kereta miliknya agar wang itu dapat diserahkan kepada bekas majikan Aminah. Dalam kes Fatimah, masalah ah long telah menyebabkan sebuah keluarga jatuh miskin.


sumber


1 Response to "Pinjaman dengan ah long bawa padah"

  1. Dearest Esteems,

    We are Offering best Global Financial Service rendered to the general public with maximum satisfaction,maximum risk free. Do not miss this opportunity. Join the most trusted financial institution and secure a legitimate financial empowerment to add meaning to your life/business.

    Contact Dr. James Eric Firm via
    Email: fastloanoffer34@gmail.com
    Best Regards,
    Dr. James Eric.
    Executive Investment
    Consultant./Mediator/Facilitator

    ReplyDelete